Kes positif virus Covid-19 di Malaysia semakin membimbangkan dan pelbagai inisiatif telah dijalankan untuk mengekang penularan wabak ini. Justeru, rakyat sering diingatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial, menjaga kebersihan serta mendapatkan suntikan vaksin dengan segera.
Para penyelidik dan pakar perubatan juga bertungkus lumus mencari cara untuk mengurangkan risiko komplikasi apabila dijangkiti virus ini. Baru-baru ini tular di internet mengenai Vitamin C yang dijadikan kaedah dalam pencegahan dan rawatan pandemik itu. Sejauh mana kesahihannya?
Menurut artikel yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini, kajian ini melibatkan penggunaan Vitamin C ke atas pesakit Covid-19 yang kritikal dan berada di ICU. Dan keputusan kajian ini agak memberangsangkan.
14% dari kes-kes positif Covid-19 ini melibatkan acute lung injury (ALI) dan acute respiratory distress syndrome. Pencetusnya ialah lambakan cytokine atau cytokine storm dalam darah menyebabkan tekanan oksidatif yang melampau seterusnya menyebabkan kerosakan tisu paru-paru yang teruk.
Dalam kajian ini, Vitamin C dos tinggi diberikan ke atas pesakit COVID19 sebagai antioksidan yang berpotensi untuk mengurangkan tekanan oksidatif dalam usaha mengurangkan tahap kerosakan tisu paru-paru, juga dalam usaha mencegah kegagalan fungsi organ yang lain.
Pesakit yang terlibat dalam kajian tersebut mempunyai masalah kesihatan yang pelbagai. Mereka juga adalah perokok. Dari ujian tersebut, kumpulan yang diberi rawatan tambahan dengan Vitamin C didapati mempunyai tempoh sakit berkurangan dan Sequential Organ Failure Assessment score yang lebih baik.
Kesemua mereka diberi ubat-ubatan yang biasa diberikan untuk keadaan mereka dan satu kumpulan ditambah dengan Vitamin C. Keputusan kajian mendapati pesakit yang beri rawatan tambahan Vitamin C – 57% discaj dari hospital dengan sihat, 29% discaj dengan ketidakupayaan dan 14% meninggal dunia. Berbanding kumpulan yang tidak dirawat dengan Vitamin C, 71% kematian, 29% discaj dengan ketidakupayaan – bebas Covid-19 tapi mengalami kegagalan atau kecederaan pada organ lain.
Dari kajian ini apa yang kita dapat simpulkan ialah Vitamin C membantu pesakit Covid-19 di ICU dengan :
- Mengurangkan kadar kematian sebanyak 57%
- Cepat sembuh, keluar dari hospital lebih cepat
- 5.6 hari lebih cepat bebas extubation
- 7.5 hari lebih cepat bebas dari alat sokongan pernafasan
Selain itu, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa rawatan intravena vitamin C dengan dos yang tinggi dapat mengurangkan tempoh unit rawatan rapi yang diterima pesakit radang paru-paru sebanyak 8% dan mengurangkan tempoh pesakit menerima alat bantuan pernafasan sebanyak 18.2%.
Berdasarkan informasi ini, vitamin C telah digunakan dalam rawatan COVID-19 untuk pesakit yang mempunyai komplikasi radang paru-paru dan kajian telah dijalankan untuk melihat keberkesanan vitamin C untuk perkara yang sama. Terdapat sebuah artikel yang diterbitkan oleh Chinese Journal of Infection Diseases, the Shanghai Medical Association yang memperakukan kegunaan intravena vitamin C untuk pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di hospital.
Walaubagaimanapun, rawatan vitamin C bukan satu rawatan standard yang diiktiraf untuk Covid-19 buat masa ini. Kajian pengambilan intravena Vitamin C dalam dos yang tinggi masih lagi sedang diuji untuk mengetahui sama ada dapat meningkatkan fungsi paru-paru pesakit Covid-19.
Vitamin C juga dipanggil sebagai asid askorbik merupakan nutrien yang mempunyai kesan antioksidan yang mampu :
- Meningkatkan sistem pertahanan badan
- Merangsang pembentukan kolagen
- Membantu mempercepatkan penyembuhan luka
- Mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung
- Meningkatkan penyerapan zat besi
Ia merupakan vitamin larut air dan tidak dapat dihasilkan oleh badan. Untuk mendapatkan sumber vitamin C yang mencukupi, kita perlu mendapatkannya melalui sumber luar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi Vitamin C seperti jambu batu, oren, bayam, kiwi, brokoli dan banyak lagi.
Walaubagaimanapun, menurut National Health and Morbidity Survey (2019) mendapati hampir 95% rakyat Malaysia tidak mengambil buah dan sayuran dengan cukup. Ditambah dengan cara pemakanan, pencemaran, persekitaran serta penyakit berjangkit di luar sana menyebabkan kita memerlukan tambahan Vitamin C untuk perlindungan.
Sekiranya anda ingin mengambil Vitamin C sebagai suplemen, pastikan anda mengambil dalam dos yang betul dan suplemen yang berkualiti. Dos yang boleh diambil ialah sekitar 250 – 2000 mg sehari. Diingatkan bahawa dos yang tinggi boleh memberikan kesan sampingan seperti cirit birit dan juga batu karang dalam beberapa kes. Pengambilan vitamin C juga boleh mempengaruhi beberapa jenis ubat lain seperti kemoterapi, zat besi atau ubat kolesterol. Jika anda mengalami masalah kesihatan yang serius, dapatkan nasihat doktor yang merawat sebelum mengambil apa-apa suplemen tambahan.
Terima kaseh atas info2 dan nasehat yang sangat2 bermanafaat untuk kita semua ambil peringatan di masa pendemik ini