Vaksin COVID-19 : Benarkah Ia Boleh Menyebabkan Kematian?

0
276

Sehingga 14 Julai 2021, sudah hampir 11.4 juta dose vaksin Covid-19 telah diedarkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Sekarang ini terdapat 3 jenis vaksin Covid-19 yang telah diluluskan penggunaannya di Malaysia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). 3 vaksin tersebut ialah AstraZeneca, Sinovac dan juga Pfizer.

Penghasilan vaksin Covid-19 telah memberikan harapan baru kepada masyarakat dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan komuniti setempat, negara dan dunia. Sejak vaksin ini mula menjalani ujian klinikal terdapat pelbagai pandangan tentangnya yang diperdebatkan, termasuklah mengenai keselamatan dan keberkesanannya. Berita lain yang turut menjadi tumpuan adalah kematian beberapa orang ketika ujian klinikal vaksin ini dijalankan serta kes-kes kematian yang berlaku selepas vaksin ini mula diberikan kepada orang ramai. Ini menimbulkan tanda tanya mengenai sejauh mana keselamatan vaksin ini.

Mengapa vaksin Covid-19 ini penting?

Vaksin berfungsi untuk  merangsang sistem daya tahan badan bagi mengenali dan melawan virus dan bakteria yang tertentu dengan menghasilkan antibodi. Sekiranya individu yang telah divaksin terdedah dengan jangkitan tersebut, badan sudah bersiap sedia untuk melawan jangkitan itu dan seterusnya dapat mencegah jangkitan serta mengurangkan risiko untuk pergi ke tahap jangkitan yang lebih kritikal. 

Vaksin ini juga penting untuk mencapai imuniti kelompok bagi melindungi golongan yang tidak boleh menerima vaksin seperti bayi, kanak-kanak serta mereka yang mempunyai alahan teruk terhadap vaksin. Kegagalan untuk melakukan vaksinasi secara meluas akan menyebabkan peredaran virus yang berterusan dan penjanaan varian-varian baru, termasuk beberapa yang mungkin menimbulkan risiko yang lebih besar. 

Adakah vaksin Covid-19 ini selamat?

Setiap vaksin Covid-19 menjalani ujian klinikal yang ketat untuk memastikan dan membuktikan bahawa vaksin tersebut memenuhi kriteria yang telah dipersetujui dan selamat serta berkesan untuk digunakan. Ujian klinikal bagi vaksin ini  melibatkan puluhan ribu peserta bagi memastikan analisa dapat dilakukan dengan lebih cepat – untuk memenuhi keperluan segera vaksin ini sambil mengekalkan standard keselamatan yang tinggi.  

Seperti vaksin-vaksin yang lain, WHO dan pihak berkuasa pengawalseliaan akan terus dipantau rapi. Sebarang kesan sampingan selepas vaksinasi akan dikaji dan diambil tindakan dengan teliti.

Komplikasi jangkitan Covid-19 adalah jauh lebih kritikal sehingga boleh membawa maut berbanding risiko kesan sampingan vaksin Covid-19.

Setiap rawatan termasuklah vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan. Walaupun terdapat laporan mengenai kesan sampingan yang serius selepas divaksin seperti alahan yang teruk (anaphylaxis), dan Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome (TTS), ini adalah kesan sampingan yang jarang berlaku dan kadar berlakunya kesan sampingan ini adalah dalam 7 daripada 1 000000 penerima vaksin. Malahan kesan sampingan ini boleh dibendung sekiranya mendapat rawatan awal. 

Sekiranya ingin dibandingkan dengan komplikasi jangkitan COVID-19 itu sendiri, 1 daripada 6 pesakit COVID-19 akan ada komplikasi dan sebilangannya akan mempunyai kesan sampingan yang boleh membahayakan nyawa. Dalam 15% pesakit COVID-19 adalah di tahap yang lebih serius iaitu di tahap 4 dan tahap 5 . Komplikasi yang lebih kritikal ini adalah disebabkan oleh satu kondisi iaitu “cytokine storm” di mana terdapat penghasilan cytokine yang banyak di dalam saluran darah dan boleh menyebabkan kecederaan kepada organ-organ penting seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang. 

Antara individu yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi ini adalah

  • Warga emas yang berusia 60 tahun ke atas
  • Pesakit kencing manis, darah tinggi, kardiovaskular dan buah pinggang
  • Ibu hamil
  • Perokok
  • Obes

Hal ini adalah disebabkan oleh imun sistem yang lemah menyebabkan mereka sukar untuk melawan jangkitan virus COVID-19. Golongan ini mempunyai prioriti yang tinggi untuk menerima vaksin kerana ia boleh membantu dalam meningkatkan imuniti dan mengurangkan risiko untuk ke tahap yang lebih kritikal. 

Kesimpulannya, pengambilan vaksin COVID-19 adalah selamat dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan kita berjaya untuk meletakkan titik pengakhiran pada pandemik COVID-19. Masih perlu ingat, cucuk vaksin tidak bermaksud kebal COVID-19. Norma baru yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia masih perlu diamalkan. Baca sini untuk mengetahui tips yang boleh dilakukan sebelum dan selepas suntikan vaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here