Dr Ian Robertson, Dekan Neuroscience di Fakulti Neuroscience di University College Dublin dalam kajian beliau menyatakan bahawa usia tua atau kerosakan yang berlaku di dalam badan kita ini boleh ditunda sehingga 80 tahun. Selepas 80 tahun itu barulah kita dianggap sebagai tua. Beliau juga telah melakukan kajian sejak 1984 lagi, dan pada ketika itu didapati mereka yang menghidap penyakit strok, purata umurnya adalah 72 tahun.
Jom ketahui 7 rahsia untuk kekal muda walau pada usia 80 tahun.
1. Cara pemikiran (Mindset)

Cara pemikiran akan menentukan segala apa yang berlaku dalam badan, sebab badan kita ini dikawal oleh sistem saraf atau otak. Otak ini adalah pengemudi badan. Kalau otak kita mengemudi ke depan maka ia akan pergi ke depan, kalau otak kita mengemudi ke belakang, maka ia akan ke belakang. Kita kena tetapkan minda untuk terus fikir yang badan kita ini muda.
Tetapkan perkara tersebut dalam minda, otak kita ni akan merembeskan hormon tertentu untuk menjalankan aktiviti untuk kekal muda.
Bagi mereka yang menghidapi penyakit-penyakit kronik juga, perlu pastikan yang minda sentiasa berfikiran positif supaya badan dapat melawan kuman atau penyakit yang ada.
Jadi, dengan pemikiran yang positif ini, barulah otak akan mengeluarkan arahan-arahan kepada hormon dan sel-sel dalam badan untuk menjadi kuat. Jadi, always think young.
2. Senaman Fizikal

Senaman penting untuk memastikan jantung berada dalam keadaan yang baik. Senaman kardio seperti berjalan kaki, berenang, berbasikal perlu digabungkan dengan senaman penguatan otot seperti plank, push up, angkat berat. Apabila kita bersenam khususnya senaman kardio, jantung kita akan bergerak dan bekerja dengan lebih efisien.
Tidak disyorkan untuk lakukan senaman yang berat, cukup sekadar brisk walk 30 minit 5 hari seminggu. Gabungkan dengan senaman penguatan otot seperti plank, angkat besi, pumping dan sebagainya. Kenapa perlu kuatkan otot? Sebab bila berusia 30 tahun, badan akan mengalami satu proses yang dinamakan sebagai sarcopenia. Sarcopenia adalah satu keadaan di mana otot akan mengecut dan bertukar menjadi lemak. Proses ini berlaku pada kadar 3 hingga 5% setahun. Dan, bagi kaum lelaki, mereka akan kehilangan jisim otot sebanyak 30 % bermula usia 30 tahun ke atas jika tidak lakukan sesuatu.
3. Senaman mental

Otak harus disenamkan setiap hari supaya dia tahu yang ia perlu berfungsi. Jadi, kita harus selalu rangsang otak. Bagaimana caranya? Contohnya sentiasa berfikir strategi, main catur, main teka silang kata. Ini adalah contoh aktiviti yang boleh merangsang otak kita yang akan membuatkan kita sentiasa berfikir.
Senaman kedua untuk minda adalah belajar ilmu baru, cara ini mudah sahaja iaitu dengan cara kita baca buku. Semua ini dapat merangsang minda kita supaya ia tidak menjadi pasif. Apabila minda aktif, insyaAllah ia akan menggerakkan tubuh kita untuk turut menjadi aktif, secara tidak langsung juga ia membantu menghindari diri kita daripada masalah nyanyuk.
4. Kawal tekanan (Stress)

Apabila meningkat usia, dengan penurunan hormon-hormon tertentu seperti kalau wanita hormon estrogen, kalau lelaki hormon testosteron. Jadi dengan penurunan hormon-hormon ini, menjadikan seseorang itu lebih mudah merajuk, cepat emosi, sensitif.
Jadi, kita perlu hindarkan diri daripada masalah-masalah ini, kerana hal inilah sebenarnya boleh menjadikan kita stres. Stres ini akan mengganggu keupayaan memori minda kita. Ada juga satu proses yang dinamakan pemendekan telomere. Proses pemendekan telomere ini boleh memusnahkan sel-sel badan kita sedikit demi sedikit. Antara punca utama yang menyebabkan pemendekan telomere adalah disebabkan oleh stres yang tidak terkawal.
5. Interaksi Sosial

Sentiasa berhubung dengan sahabat handai, ahli keluarga, sanak-saudara. Macam mana caranya? Satu kita boleh buat secara offline, maksudnya pergi jumpa atau lawat sanak saudara, rakan taulan dan satu lagi adalah secara online, gunakan telefon bimbit bersembang dalam grup dan sebagainya.
Interaksi sosial ini mampu memberikan persekitaran yang mana badan kita akan sentiasa mempunyai hala tuju.
6. Kawal komorbid

Komorbid ialah penyakit seperti kencing manis, darah tinggi. Kencing manis dan darah tinggi ini sangat bahaya, sebab ia merupakan penyakit yang senyap, penyakit ini seperti api yang akan membakar dalaman sedikit demi sedikit jika tidak dikawal.
Satu lagi penyakit komorbid yang ramai tak ambil kesah adalah obesiti. Nak-nak pula di Malaysia ini sekitar 50.4 % rakyat Malaysia adalah terdiri daripada golongan yang lebih berat badan atau obes. Jadi, ini yang harus dikawal. Obes ini boleh mencetuskan keradangan kronik, setiap lemak dalam abdomen kita ini adalah lemak aktif. Dan, lemak aktif ini akan terus menghasilkan agen keradangan yang dinamakan adipocytokine.
Jika dibiarkan ia akan mencetuskan penyakit-penyakit keradangan kronik pula seperti salur darah tersumbat. Ukur lilit pinggang lelaki perlu kurang daripada 35.5 inci, manakala wanita perlu kurang daripada 31.5 inci.
7. Pemakanan yang sihat

Banyak makanan zaman moden ini telah dicemari dengan bahan-bahan yang bahaya seperti gula, bahan pengawet, lemak trans dan sebagainya. Bahan-bahan inilah boleh mencetuskan keradangan kronik, menyebabkan peningkatan stres oksidatif dalam badan kita sehingga menjejaskan fungsi badan dan menyebabkan penurunan fungsi sel dan molekul dalam badan.
Oleh sebab itu, bila dah mencecah umur 40 tahun, perlu kawal cara pemakanan. Elakkan makan makanan yang terproses dan tingkatkan pengambilan makanan-makanan yang original seperti masakan yang dimasak sendiri di rumah. Tingkatkan juga pengambilan buah-buahan, ikan, dan makanan-makanan yang sihat.
Dalam buah itu sendiri mengandungi flavonoid dan fitonutrisi untuk perlindungan dalaman. Waktu berusia juga kita kena faham, banyak kilang-kilang dalam badan kita ini sudah terjejas fungsinya termasuklah master antioksidan kita seperti glutathione. Oleh sebab itu, kita perlu amalkan paling kurang suplemen jenis antioksidan seperti Vitamin C, Vitamin D dan Vitamin E.
Jom sama-sama amalkan 7 perkara ini agar kita sentiasa kekal muda. Buat masa ini, beberapa tahun yang lepas dijangka populasi tua ini adalah 1 daripada 10 populasi dunia, tapi untuk tahun 2050 dijangkakan populasi tua ini akan mencapai 1 daripada 5 populasi dunia.
Bermanfaat? Kongsikan pada yang tersayang.