Seramai 47 kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah di negara ini meninggal dunia akibat COVID-19 sejak tahun lalu. Mengikut kepada data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 41 kematian direkodkan sejak Januari 2021 hingga 30 Ogos 2021, manakala enam lagi kanak-kanak meninggal tahun lalu.
Data itu juga mencatat sejumlah 322,694 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 sejak pandemik bermula hingga 30 Ogos 2021.Tahun lalu, terdapat 12,620 jangkitan membabitkan usia kosong hingga 17 tahun, manakala 310,074 jangkitan dilaporkan dalam kalangan golongan itu pada tahun ini.
Peningkatan angka ini sangat merisaukan dan ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dalam memainkan peranan bagi melindungi anak-anak mereka daripada bahaya wabak pandemik ini.
Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi memberi perlindungan kepada remaja dan kanak-kanak semasa musim Covid-19 ini?
Sumber Jangkitan
Sumber jangkitan yang paling dekat adalah daripada ahli keluarga yang tinggal serumah dengan mereka. Ibu bapa yang sentiasa keluar masuk rumah sama ada untuk pergi ke kerja ataupun ke pasaraya, sangat penting untuk pastikan jagalah SOP sebaiknya. Elakkan pergi ke tempat-tempat yang terlampau sesak dan kurang pengudaraan. Sekiranya ada ahli-ahli keluarga lain yang ingin menziarahi, pastikan dulu mereka tidak mempunyai simptom-simptom demam, batuk dan selsema serta elakkan daripada bersalaman dan berpelukan.
Didikan
Ibu bapa bertanggungjawab untuk memberi kefahaman kepada anak-anak mereka tentang bahaya Covid-19 dan kepentingan untuk menjaga SOP. Lebih-lebih lagi apabila anak-anak akan mula memasuki sekolah, mereka perlu tahu apa yang perlu dilakukan untuk menjaga diri mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dalam menjaga SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Elakkan Penularan
Antara langkah-langkah yang perlu dididik kepada anak-anak dalam mengelakkan jangkitan Covid-19 adalah :
- Pastikan mereka kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun ataupun hand sanitizer.
- Pastikan mereka tidak menyentuh muka lebih-lebih lagi bahagian mulut, hidung dan mulut sekiranya mereka telah menyentuh kawasan-kawasan di tempat awam.
- Elakkan anak-anak dari bersalaman dengan orang lain.
- Jauhkan mereka dari mendekati orang yang tengah sakit.
- Pastikan mereka menutup mulut dengan etika yang betul apabila bersin atau batuk.
- Amalkan pemakaian pelitup muka dan face shield
- Amalkan social distancing. Elakkan membawa kanak-kanak ke tempat yang ramai orang .
Sistem Imun
Walaupun kerajaan sudah membuka pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja berumur 12-17 tahun, perlu juga untuk tingkatkan sistem imun kendiri.
- Lakukan aktiviti fizikal setiap hari. Ajaklah anak-anak bersenam di rumah. Janganlah biarkan mereka untuk duduk sahaja di depan televisyen, ipad dan permainan video.
- Dapatkan sumber vitamin D daripada matahari. Waktu terbaik adalah dari 10 pagi sehingga 3 petang. Tidak perlu berjemur lama, hanya 10-15 minit sudah mencukupi. Vitamin D penting untuk sistem imun berfungsi dengan baik
- Pastikan anak-anak makan-makanan yang bernutrisi. Ajar mereka untuk makan sayur-sayuran serta buah-buahan.
- Elakkan atau kurangkan pengambilan makanan yang terproses, makanan minuman manis kerana ini boleh melemahkan sistem imun.
Marilah sama-sama berganding bahu dalam menjaga bukan hanya diri kita tetapi orang-orang yang kita sayangi.