Semakin hari kes Covid-19 di Malaysia semakin meningkat dan Malaysia telah mencipta sejarah kes harian baharu tertinggi sebanyak 11 ribu kes, sejak tiga kes pertama Covid-19 dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan varian Alpha yang berasal dari United Kingdom sebelum ini dikesan mula menular di Sabah telah berjaya dikawal. Namun, varian yang dominan kini adalah varian Delta dari India atau turut dikenali sebagai varian mutasi berganda menyebabkan pasukan kesihatan khuatir peningkatan kes kini bersangkut paut dengan mutasi varian ini yang lebih cepat.

Oleh sebab itu, penting untuk kita memperkukuhkan tindakan kesihatan awam bagi membendung penularan jangkitan daripada varian membimbangkan (VOC) ini. Menurut Ketua Unit Penyakit Berjangkit Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Rosnida Mohd Noh pula, penularan wabak Covid-19 daripada varian Delta ini mampu dikawal sekiranya dua dos vaksin Covid-19 ke atas penerima dapat dilengkapkan segera.
Seperti yang kita tahu, pemberian vaksin amat penting untuk merangsang sistem imun agar dapat menghasilkan antibodi terhadap virus Covid-19. Namun perlu difahami yang vaksin tidak bermaksud anda tidak boleh dijangkiti, tetapi, mereka yang divaksin mempunyai peratusan yang lebih rendah untuk mengalami simptom, dimasukkan ke hospital, memerlukan bantuan pernafasan serta merendahkan risiko kematian akibat virus Covid-19 juga!
Yang menyedihkan, masih ramai yang tidak tahu akan kepentingan mempersiapkan diri untuk suntikan vaksin agar badan dapat hasilkan antibodi yang berkualiti dan mampu melawan virus Covid-19 sebaiknya. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan dari rumah sahaja untuk bantu tingkatkan sistem imun anda sekaligus menyiapkan diri untuk suntikan vaksin.
#1 Elakkan keradangan

Nampak mudah tapi ramai dari kita yang buat tanpa sedar. Perkara yang boleh sebabkan keradangan ni banyak berkait rapat dengan apa yang kita makan. Lagi-lagi pada musim PKPD ni, memang mudah tangan merayap mencari kudapan. Kudapan ni tak bagus ye, nak kudap sayur ke buah ke takpe. Tapi jangan pula ambil kudapan yang tinggi gula dan lemak trans. Biasanya ni banyak dalam kuih muih, pastri, jajan, dan makanan ringan. Paling penting wajib elakkan gula kerana gula boleh menyebabkan sistem imun jadi lemah.
Malah, pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan sel darah putih atau sel imun kita menjadi tidak aktif! Cara masakan juga penting tau. Jadi, pastikan anda setiasa memilih cara masakan seperti kukus, rebus atau masakan berkuah berbanding makanan goreng atau bakar. Ini semua untuk elakkan bahan berbahaya yang terhasil akibat cra masakan goreng atau bakar tadi. Nak tambah perlindungan lagi? Pastikan ambil sayuran dan buahan mencukupi setiap hari ye!
#2 Senaman

Tak kisahlah hujan ke, ribut petir ke, yang penting pastikan anda lakukan senaman 30 minit sehari. Jalan kaki pun dah cukup! Jangan pula jalan berlenggang ye, kalau boleh jalan laju sikit. Senaman ni dah banyak kajian yang buktikan kebaikannya untuk tingkatkan sistem imun termasuklah boleh meningkatkan pergerakan sel imun keseluruh badan!
Kalau anda lakukan senaman secara istiqamah lagi-lagi sebelum nak pergi cucuk vaksin tu, insyaAllah tahap antibodi yang dihasilkan itu adalah tinggi supaya dapat memberi perlindungan kepada badan anda di masa akan datang.
#3 Tidur yang cukup

- Sibuk seperti apa pun anda, pastikan anda dapat tidur yang mencukupi ye. Tidur kurang daripada 6 jam sehari boleh sebabkan peningkatan risiko kematian akibat sakit jantung meningkat sehingga 20%. Ketika tidur, badan akan memanfaatkan masa ini untuk memulihkan kerosakan serta menyiapsediakan badan untuk kerosakan mendatang. Tanpa tidur yang cukup, badan akan berterusan dalam keadaan yang stress sehingga boleh membahayakan nyawa. Malah, hormon-hormon penting untuk menguatkan sistem imun juga akan dikeluarkan ketika anda tidur! Lagi-lagi sebelum cucuk vaksin, pastikan anda dapat tidur cukup 7-8 jam ye.
Selepas mendapat suntikan vaksin pula, pastikan anda masih amalkan 3 tips yang diberikan disamping mengamalkan pemakanan bernutrisi tinggi dan rehat yang mencukupi. Waktu ini juga, pengambilan air yang mencukupi amat penting, jadi pastikan botol air sentiasa di sisi anda setiap waktu.
Semoga urusan kita untuk mengambil vaksin dipermudahkan dan sekaligus membendung penularan Covid-19 ini.