Penyakit Lelah (Asma) dan Kaitannya Dengan Covid-19

0
315

Pandemik penyakit Covid-19 ini semestinya sudah menjadi satu keresahan bagi masyarakat seluruh dunia lebih-lebih lagi untuk mereka yang mempunyai masalah penyakit lelah (asma) kerana ditakuti mempunyai risiko jangkitan yang lebih kritikal. Mengikut kepada World Health Organization (WHO), secara umumnya, pesakit asma mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan kuman di paru-paru seperti yang dilihat setiap tahun melalui penyebaran influenza.

Secara teori, pesakit asma mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk dijangkiti Covid-19 dan lebih berisiko untuk mendapat komplikasi serius memandangkan sistem imun mereka yang telah terjejas akibat asma.  Namun begitu, sehingga kini masih lagi tiada data yang jelas untuk menunjukkan pesakit asma mempunyai komplikasi jangkitan Covid-19 yang lebih serius malahan  data dari kajian-kajian yang telah dilakukan menunjukkan sebilangan besar mereka yang dijangkiti hanya menghidap penyakit ringan hingga sederhana dan pulih tanpa dimasukkan ke hospital.

Virus pernafasan adalah salah satu penyebab yang paling biasa untuk berlakunya asma. Namun begitu, didapati tidak semua virus ini memberi kesan yang sama kepada pesakit asma. Semasa wabak ini, seseorang yang menghidap asma lebih berkemungkinan untuk mendapat serangan asma disebabkan oleh pencetus lain, termasuk alergen atau pendedahan virus lain seperti influenza ataupun rhinovirus yang terbukti akan menyebabkan penghidap asma menjadi lebih teruk keadaannya. 

Walaupun pemahaman kita tentang coronavirus dan asma masih kurang, tetapi masih lagi perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Pesakit asma perlu meneruskan pengambilan ubat pengawal mereka, yang terdiri daripada steroid yang disedut (inhaler) dan rawatan biologik, termasuklah imunoterapi alergen.

Jangan ubah dos atau berhenti ubat dengan sendiri tanpa berbincang dengan doktor yang merawat kerana tindakan ini  boleh menambahkan risiko keterukan asma, meningkatkan penggunaan steroid sistemik dan kebarangkalian kemasukan ke unit kecemasan atau wad yang seterusnya akan menjadi faktor risiko kepada pendedahan dan penyebaran coronavirus.

Lindungi diri anda dari jangkitan Covid-19 dengan lakukan langkah-langkah dibawah :

  • Ikuti “Pelan Tindakan Asma” yang telah ditetapkan oleh doktor yang merawat anda
  • Dapatkan vaksin Covid-19 apabila tersedia untuk anda
  • Pakai topeng muka dan pastikan ia menutupi hidung dan mulut
  • Mengikut penjarakan sosial 2 meter
  • Kerap basuh tangan dengan sabun dan air serta gunakan “hand sanitizer” yang mempunyai alcohol sekurang-kurangnya 60%
  • Elakkan berada di kawasan yang sempit dan sistem pengudaraan yang kurang baik
  • Sekiranya terdapat individu yang kurang sihat di dalam rumah, lakukan kuarantin kendiri. 
  • Tingkatkan sistem imun dengan pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan seperti vitamin C dan vitamin D

Kenali mereka yang mempunyai masalah asma? Jom kongsikan maklumat ini kepada mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here