Pandemik COVID-19 telah memberikan tamparan yang hebat kepada semua golongan, samada dari sudut mental, fizikal mahupun kewangan. Oleh itu, setiap daripada kita perlulah meneruskan usaha-usaha untuk memelihara kesihatan diri, keluarga dan orang sekeliling. Alhamdulillah, sudah lebih kurang 8 juta rakyat Malaysia telah menerima suntikan vaksin sejak ianya diberikan dari bulan Februari 2021. Jadi, apakah perkara yang boleh mempengaruhi respon badan terhadap suntikan vaksin?

Nutrisi yang mencukupi terbukti dapat menyokong sistem imun badan dan mengurangkan risiko jangkitan. Ianya dapat dicapai dengan cara merangsang sel-sel imun untuk membunuh benda-benda asing (patogen) yang masuk ke dalam badan seperti virus serta menghasilkan antibodi. Sel-sel imun ini juga akan membantu badan untuk memberikan tindak balas yang efektif terhadap vaksin. Antara fungsi utama sistem imun adalah :
- Melawan benda-benda asing (patogen) seperti virus, bakteria, kulat dan parasit.
- Memelihara badan daripada penyakit khususnya penyakit berjangkit.
- Membunuh sel kanser.
- Membersihkan badan dari sel mati dan sel rosak.
Berdasarkan sejumlah besar data yang diterima, respon sistem imun ini disokong oleh status nutrisi yang mencukupi seperti Vitamin A, B6, B12, C, D,E, zink, omega-3 dan zat besi.
Kajian terkini daripada Ohio State University menunjukkan banyak faktor yang mempengaruhi respon badan terhadap vaksin. Antaranya seperti masalah-masalah kesihatan, aktiviti fizikal, status nutrisi, jantina, umur dan banyak lagi. Di antara banyak-banyak faktor ini, faktor nutrisi memainkan peranan yang sangat penting dalam tindak balas badan seseorang terhadap vaksin.

“ Vaksin hanya bertindak untuk merangsang sistem imun dan bagaimana badan bertindak balas adalah bergantung kepada status nutrisi seseorang itu” – Professor Srinath Reddy
Selari dengan itu, World Health Organization (WHO), 2020 juga menyatakan bahawa mikronutrisi seperti Vitamin D, Vitamin C dan zink sangat penting untuk memastikan sistem pertahanan badan dapat berfungsi dengan baik.
Kajian menunjukkan, mereka yang kurang Vitamin D 33 % kurang menghasilkan antibodi terhadap vaksin influenza berbanding dengan mereka yang cukup Vitamin D. Kajian lain pula menunjukkan pengambilan Vitamin E selama 4 bulan meningkatkan respon badan terhadap vaksin hepatitis B. Berdasarkan kajian-kajian terdahulu, saintis mula mencadangkan pengambilan suplemen yang mengandungi mikronutrisi-mikronutrisi yang disebutkan di atas adalah perlu bagi menyokong sistem pertahanan badan serta tindak balas badan terhadap vaksin.
Seperti yang dinyatakan oleh kajian-kajian terdahulu, banyak nutrisi yang bagus dan penting untuk menyokong sistem imun badan. Antara yang paling ramai masyarakat amalkan di musim pandemik ini adalah Vitamin C dan Vitamin D.
NUTRISI PENTING #1 : VITAMIN C

Vitamin C merupakan vitamin larut air. Larut air ini maksudnya vitamin ini tidak akan disimpan di dalam badan, bila berlebihan ia akan terus dikeluarkan melalui air kencing. Selain itu, kita juga perlu mengambil Vitamin C setiap hari. Ini kerana, badan tidak menghasilkan Vitamin C. Kalau kita tak makan Vitamin C, kita mungkin akan berhadapan dengan masalah-masalah kekurangan Vitamin C seperti gusi berdarah, kulit kering, luka lambat sembuh dan senang dijangkiti penyakit berjangkit. Oleh itu, pengambilan Vitamin C perlu dioptimakan dan ditingkatkan, lebih-lebih lagi di musim pandemik ini.
Negara-negara luar seperti Cina dan Korea sudah menggunakan Vitamin C secara meluas untuk membantu rawatan Covid 19 dan juga sebagai langkah untuk mencegah. Setiap pekerja di hospital diberikan sebanyak 1000 – 2000 mg Vitamin C setiap hari.
NUTRISI PENTING #2 – VITAMIN D

Vitamin D adalah salah satu vitamin yang ramai orang lupakan. Secara umumnya sangat mudah untuk kita dapatkan Vitamin D ini, iaitu dengan hanya meluangkan masa selama lebih kurang 20 ke 30 minit, 2 ke 3 kali seminggu di bawah sinaran matahari. Malangnya, tidak semua orang mampu melakukannya. Statistik menunjukkan 67.4 % rakyat Malaysia kekurangan Vitamin D.
Selain daripada cahaya matahari, anda juga boleh mendapatkan Vitamin D ini daripada sumber makanan seperti ikan berlemak, telur kuning, bijirin, produk tenusu, hati lembu, cendawan, soya dan bayam. Namun, sumber Vitamin D daripada makanan ini hanya menyumbang sebanyak 10 % sahaja dari keperluan harian. Oleh itu, nak tak nak, alternatif terbaik untuk penuhi keperluan Vitamin D anda adalah dengan mengambilnya daripada suplemen.
Secara kesimpulannya, dalam memastikan badan dapat memberikan tindak balas yang terbaik terhadap vaksin, persiapan secara holistik perlu disertakan dan ianya tidak terhad kepada cara kita jaga makan atau ambil suplemen sahaja ya. Persiapan-persiapan lain juga perlu diambil kira.