Penyakit pneumonia merupakan penyakit yang kerap menyerang manusia disebabkan oleh jangkitan bakteria, virus atau fungi dan sebagainya. Apabila seseorang itu dijangkiti penyakit tersebut, serangan utama jangkitan akan berlaku di bahagian organ penting tubuh iaitu paru-paru.
Jangkitan akan menyebabkan paru-paru membengkak di bahagian alveoli (ruangan udara kecil dalam paru-paru yang berbentuk seperti belon). Badan mempunyai berjuta-juta alveoli yang memainkan fungsi yang sangat penting untuk membolehkan kita bernafas. Oksigen yang dihirup melalui hidung atau mulut akan bergerak melalui saluran pernafasan dan akan pergi ke alveoli sebelum diserap masuk ke dalam sistem saluran darah.
Bagi penghidap pneumonia, alveoli yang sepatutnya kosong diisi oleh cecair. Ini berlaku apabila sistem imun badan melawan virus dalam masa yang sama virus turut menyerang sel-sel di sekitar alveoli menyebabkan pengumpulan sampah memenuhi ruangan tersebut. Hasil sisa jangkitan ini dikatakan mirip seperti mukus menyebabkan dinding alveoli menjadi tebal sehingga menyukarkan penyerapan oksigen ke dalam darah menjadi sukar. Bila oksigen sukar diserap ke dalam darah, badan akan mulai mengalami kesukaran bernafas, mudah penat dan sebagainya.

Ramai yang mungkin menyedari pneumonia ini juga dikaitkan dengan pendemik Covid-19. Ia merupakan komplikasi yang dianggap paling teruk bagi seseorang yang telah dijangkiti wabak Covid-19. Dianggarkan 6-20 peratus yang dijangkiti mengalami masalah ini.
Rawatan pneumonia biasa adalah berbeza dengan pneumonia Covid-19 yang disebabkan oleh jangkitan virus. Oleh kerana tiada garis panduan dan ubat khusus untuk merawat, pakar perubatan menjalankan langkah-langkah untuk menyokong sistem pernafasan seseorang yang dijangkiti pneumonia Covid-19.
Bagi sesetengah pesakit Covid-19, mereka mungkin memerlukan penggunaan mesin ventilator dalam menyokong tubuh badan, mengepam udara yang kaya oksigen agar sistem pernafasan dapat berjalan dengan baik. Pesakit yang kritikal dan memerlukan ventilator merasakan paru-paru mereka seolah dada mereka sentiasa penuh dengan sesuatu seperti lemas dalam badan sendiri. Malah, perkongsian dari sesetengah kajian juga mendapati kesan Covid-19 bagi mereka yang mengalami Covid-19 kategori 5 mengalami komplikasi long-covid di mana ia memberi kesan penurunan kepada kesihatan paru-paru.
Justeru, individu yang pernah dijangkiti Covid-19 hendaklah menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat secara berterusan. Perhatikan simptom yang dialami dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Baca sini untuk penjagaan long-covid.
Bagi individu yang tidak dijangkiti, kekal jaga SOP dan ambil vaksin dengan segera. Anda juga tidak terkecuali dan disarankan untuk terus mengamalkan gaya hidup yang sihat. Amalkan nutrisi yang boleh membantu meningkatkan kesihatan paru-paru serta sistem imun badan seperti Vitamin C dan Vitamin D.
Kita jaga kita.