Kenapa Ramai Pesakit Diabetes Terkorban Akibat Covid-19? Ini jawapannya.

0
458

Sehingga kini jumlah kematian akibat Covid-19 sudah mencecah 4.16 juta orang seluruh dunia yang melibatkan ratusan negara di seluruh dunia (27 April 2021).

Mengikut kepada Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia, 70% daripada kematian pesakit Covid-19 ini adalah pengidap kencing manis. Antara komorbiditi lain yang menyumbangkan kepada risiko kematian adalah darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung dan penyakit paru-paru.  

Secara umumnya, pesakit kencing manis mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih kritikal jika mereka dijangkiti virus ini. Risiko pesakit kencing manis untuk memerlukan rawatan intensif adalah sebanyak dua kali ganda berbanding pesakit Covid-19 yang tiada kencing manis. Kadar kematian juga meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding kadar kematian pesakit Covid-19 yang biasa. 

Menurut Pakar Perubatan Dalaman Hospital Columbia Asia , Dr Muhammad Shahruddin, 80% dari pesakit yang dijangkiti Covid-19 akan sembuh kerana sistem imun mereka bertindak balas secara normal. Namun dalam sesetengah pesakit, sistem imun badan bertindak secara melampau atau berlebihan menyebabkan keadaan pesakit boleh merosot. 

Salah satu teori saintis mengapa pesakit kencing manis mempunyai risiko yang lebih tinggi adalah kerana sistem imun badan yang terjejas atau tidak normal. Kawalan gula yang tidak baik akan menyebabkan sistem pertahanan badan merudum dan menjadi sukar untuk badan melawan jangkitan kuman. 

Jangkitan kuman atau virus itu sendiri boleh menyebabkan kawalan kencing manis menjadi lebih sukar. Ini adalah kerana jangkitan kuman boleh menyebabkan organ-organ badan meradang dan tubuh badan dalam keadaan stres. Ini akan mengakibatkan gula dalam darah menjadi tinggi dan virus akan lebih cepat merebak.

Apa yang perlu dilakukan oleh pesakit kencing manis untuk kurangkan risiko ini?

  1. Kawal gula dengan baik supaya di tahap yang stabil. Ini adalah antara kunci utama dan perlu dilakukan secara istiqomah.
  2. Pastikan stok ubat kencing manis anda mencukupi dan perlu mengikut saranan doktor perubatan masing-masing dalam pengambilan ubat kencing manis.
  3. Bersenam secara berpada-pada untuk tingkatkan aliran darah serta meningkatkan sistem imun badan. Jalan selama 30 minit sehari juga sudah mencukupi.
  4. Amalkan pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan serta anti-radang untuk kurangkan keradangan kronik di dalam badan
  5. Kawal stres dengan baik serta tidur dengan mencukupi untuk elakkan stres berlebihan kepada badan.
  6. Patuh kepada penjarakan sosial dan pemakaian topen muka apabila keluar rumah.

Kesimpulannya, pesakit kencing manis adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi akibat jangkitan Covid-19. Mereka memerlukan perhatian yang lebih khusus dan rawatan intensif sekiranya dijangkiti virus ini. Oleh itu, amat penting untuk ambil langkah pencegahan awal dan amalkan gaya hidup yang sihat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here