Diabetes atau kencing manis adalah penyakit di mana paras gula tinggi di dalam darah akibat kurangnya hormon insulin atau hormon insulin kurang sensitif (rintangan insulin).
Kajian mendapati 1 dari 5 rakyat Malaysia dewasa menghidap Diabetes dan 90-95% daripadanya adalah penghidap Diabetes Jenis 2.
Sebelum ini, kencing manis jenis 2 ini juga dikenali sebagai Age-Dependant Diabetes dimana hanya orang yang berumur akan mengalami penyakit ini. Namun, perkara ini tidak lagi sama pada masa kini kerana ramai orang muda juga turut menghidap penyakit tidak berjangkit ini.
Lebih menarik lagi, 49% dari mereka yang menghidapi penyakit ini tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya mempunyai kencing manis.
Perkara ini boleh terjadi kerana simptom kencing manis ini sendiri kadangkala menyamai simptom-simptom kesakitan biasa, lalu ramai memilih untuk tidak mengendahkan simptom ini sehingga keadaan menjadi lebih parah seperti luka lambat sembuh dan apabila dirujuk ke pihak hospital, barulah diketahui bahawa paras gula dalam darah adalah sangat tinggi.
Siapa yang berisiko mendapat Diabetes?
Faktor risiko kencing manis pula boleh dipecahkan kepada dua iaitu faktor tidak boleh ubah dan faktor yang boleh diubah.
Faktor tidak boleh ubah
- Usia: Risiko kencing manis meningkat seiring usia terutama bila berumur lebih dari 45 tahun. Disyorkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan setiap tahun.
- Jantina: Lelaki lebih cenderung untuk mendapat kencing manis berbanding wanita.
- Etnik: Mengikut kajian NHMS, 2019, kaum India mempunyai peratus kencing manis yang lebih tinggi berbanding kaum lain dan kaum Cina mempunyai kes terkecil melibatkan kencing manis
- Keturunan:
- Salah seorang ibu atau bapa terkena kencing manis > 50 tahun, risiko 8%
- Salah seorang ibu atau bapa terkena kencing manis < 50 tahun, risiko 15%
- Ibu dan bapa mempunyai kencing manis, risiko 50%
- Bayi yang lahir lebih dari 4 kg, atau kurang dari 2.5 kg mempunyai risiko kencing manis yang lebih tinggi ketika dewasa
Jadi persoalannya di sini sekiranya ibu dan ayah saya menghidapi kencing manis adakah saya juga turut akan menghidapinya? Jawapannya adalah anda mempunyai risiko untuk menghidapi sakit kencing manis. Tetapi sekiranya anda tidak menjaga faktor-fakto yang akan diterangkan di bawah ini, risiko untuk anda mendapat kencing manis akan berlipat kali ganda.
Faktor boleh ubah (Gaya Hidup)
- Tidak bersenam: Bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu boleh mengurangkan risiko kencing manis. Semakin meningkat usia, semakin perlu mengamalkan gaya hidup aktif.
- Pemakanan: Pengambilan makanan yang tinggi karbohidrat, gula dan fruktosa.
- Berat badan: Mereka yang obesiti mempunyai risiko kencing manis yang lebih tinggi.
Komplikasi Diabetes
Kencing manis sering dikaitkan dengan angiopathy ataupun penyakit di saluran darah. Ini terjadi apabila terjadinya gangguan di saluran darah yang menyebabkan aliran darah tidak lancar. Penyakit ini boleh dipecahkan menjadi dua iaitu penyakit di salur darah kecil (microangiopathy) dan salur darah besar (macroangiopathy).
Penyakit yang melibatkan salur darah kecil disebabkan oleh penebalan dinding sel yang menghalang pengaliran darah yang baik. Penyakit ini boleh menyerang ke salur darah di bahagian kaki, buah pinggang serta mata.
Apabila ini terjadi, muncullah simptom-simptom seperti kaki kebas, glaukoma, katarak, dan masalah buah pinggang. Jika tidak dijaga, masalah ini akan menjadi lebih progresif dan kesan akhir seperti kegagalan buah pinggang, buta, serta kaki kebas boleh terjadi.
Penyakit yang melibatkan salur darah besar boleh terjadi apabila radang yang berlaku menyebabkan penebalan plak didalam salur darah dan menyempitkan laluan untuk aliran darah yang lancar.
Apabila saluran darah tersumbat, komplikasi lain seperti sakit jantung, strok atau aliran darah ke kaki tidak lancar dan menyebabkan kaki berubah menjadi hitam akibat sel-sel mula mati akibat kekurangan oksigen.
Pada akhirnya, komplikasi yang diketahui umum iaitu potong kaki akan terjadi. Malah, 50-70% kes amputasi di hospital adalah disebabkan oleh kencing manis.
Diabetes, jika tidak dikawal boleh menyebabkan pelbagai kemudaratan. Jom cegah sebelum terlambat. Buat pemeriksaan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya sekali setahun.