Pada saat vaksin Covid-19 sudah mula diberikan di seluruh dunia, petua tradisional dan amalan secara alami turut mendapat tempat dalam kelompok masyarakat. Kebelakangan ini bunga cengkih menjadi bahan utama yang dikatakan boleh menyembuhkan Covid-19.
Rasa hidung tersumbat sikit, terus direbus seperiuk cengkih untuk disedut wap yang keluar. Namun, sejauh manakah kenyataan ini benar?
FAKTA TENTANG BUNGA CENGKIH
- Bunga cengkih turut digunakan bagi menambah kelazatan makanan terutamanya dalam pembuatan kek dan biskut selain menjadi bahan penting dalam penyediaan teh tarik di kalangan masyarakat India.
- Bunga cengkih merupakan sejenis rempah ratus yang digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional seperti mengurangkan sakit gigi selain salah satu cara mengatasi rambut gugur dan berkelemumur.
- Bunga cengkih merupakan rempah ratus yang kaya dengan antioksidan dan mineral yang memberi banyak khasiat seperti membantu mencegah penyakit kanser, membantu mengawal gula di dalam darah, melegakan penyakit yang berkaitan dengan pernafasan, selain mempunyai sifat anti trombotik yang mampu membuat pembekuan darah menjadi lambat kerana mempunyai eugenol (antioksidan).

Jadi, betul ke kalau kita hidu wap bunga cengkih boleh matikan virus Covid-19 ni?
Dakwaan menghidu wap air rebusan bunga cengkih mampu mengubati mereka yang dijangkiti Covid-19 adalah tidak benar sama sekali memandangkan sehingga ke hari ini, tiada lagi kajian yang dijalankan samada pada tabung uji, model haiwan atau klinikal pada manusia yang menyokong dakwaan berkenaan.
Memanglah secara tradisinya, wap air rebusan bunga cengkih ini digunakan bagi melegakan simptom batuk, selesema, asma mahupun keradangan pada paru-paru. Ini kerana, bunga cengkih mengandungi eugenol yang akan merencat enzim 5-lipoxygenase. Enzim ini bertanggungjawab dalam penghasilan leukotrienes, yang menjadi mediator pelbagai penyakit berkaitan dengan keradangan seperti asma.
Walaupun secara umumnya, wap berkenaan tidak mendatangkan kemudaratan, tetapi seandainya seseorang individu itu mengalami gejala Covid-19 mereka perlu mendapatkan rawatan susulan kerana gejala Covid-19 ni bukan gejala biasa-biasa. Mungkin kalau anda hidu wapnya atau minum rebusannya sedikit sebanyak boleh melegakan simptom yang dialami, tetapi itu tidak bermakna yang virus Covid-19 sudah mati.
Oleh yang demikian, mereka yang mengalami simptom Covid-19 perlulah mendapatkan rawatan segera kerana virus berkenaan bukan hanya boleh menyebabkan demam selsema biasa, tetapi ia juga meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi yang lebih parah sehingga memerlukan bantuan oksigen dan rawatan yang lebih intensif.
Secara kesimpulannya, tidak salah sebenarnya untuk kita mencuba sebarang kaedah tradisional, namun kita sepatutnya tidak terlalu taksub dengan kaedah berkenaan sehingga menolak sebarang kaedah moden termasuk suntikan vaksin Covid-19 yang telah dibuktikan secara klinikal.