Ramai yang mengalami berat badan berlebihan dan susah nak turunkan berat badan dengan alasan mereka mengalami “gemuk air”. Namun, tahukah anda bahawa pernyataan yang dinyatakan tu adalah tidak benar sama sekali?
Sama ada gemuk air itu istilah yang betul ataupun sekadar mitos, apa yang penting adalah keinginan untuk mula berdiet dan mengubah hidup adalah satu usaha yang murni. Mengamalkan diet yang betul amat penting pada zaman pandemik ini memandangkan pemakanan juga boleh melambangkan tahap kesihatan badan kita.

Terma gemuk air ni mula muncul apabila ada yang kehilangan sehingga 2-3 kilogram berat badan walaupun baru sahaja memulakan diet 1-2 hari lepas. Ye betul! Memang nampak banyak, tapi sebenarnya 2-3 kilogram yang hilang tersebut adalah kehilangan air dan bukannya bakar lemak lagi. Sebab itu, walaupun pengurangan ketara boleh dilihat pada penimbang, namun tiada perubahan pada badan individu tersebut.
Ada 2 bahan yang boleh mengikat air dalam badan dan sebabkan “gemuk air” yang perlu anda ketahui iaitu garam dan juga karbohidrat.

- GARAM
Pengambilan makanan yang mempunyai tinggi garam memerlukan fungsi buah pinggang yang efisien untuk mengeluarkan garam tersebut. Namun, dalam sesetengah keadaan seperti mereka yang mempunyai masalah buah pinggang, masalah jantung, atau mereka yang suka mengambil makanan masin (tinggi garam) dalam satu masa boleh menyebabkan garam tersebut sukar dikeluarkan dari badan. Fungsi garam pula adalah bertindak seperti span yang menyerap dan memegang erat air dalam badan.
Bila seseorang itu berdiet, sebenarnya garam yang disimpan tadi tu baru dilepaskan bersama air-air yang dipegang erat. Sebab itu lah istilah gemuk air itu wujud.
- KARBOHIDRAT
Pemakanan tinggi karbohidrat juga boleh menyebabkan air penuh dalam badan kerana fungsi karbohidrat yang memegang air. Apabila individu tersebut tidak lagi mengambil atau mengurangkan makanan berkarbohidrat, simpanan karbohidrat dalam badan akan digunakan sepenuhnya sehingga menyebabkan air juga turut keluar. Ini juga menyebabkan munculnya istilah gemuk air.
Jadi, adakah terma gemuk air itu masih betul? Jawapannya adalah tidak. Keadaan gemuk air ni lebih dikenali sebagai keadaan “water retention” ataupun “bengkak air”. Satu-satunya terma yang betul untuk masalah kegemukan adalah gemuk lemak dan membakar lemak memerlukan masa yang lebih lama. Disebabkan itu, apapan perubahan yang ingin dilakukan, perlulah dilakukan secara istiqamah.