Gastritis merupakan masalah yang sering dialami dan ianya berpunca daripada keradangan di bahagian lapisan mukosa yang melapik dinding perut. Secara semula jadi, sel perut kita menghasilkan asid hidroklorik (dengan pH 1 hingga pH 2) yang berfungsi untuk mencerna makanan.
Apabila makanan memasuki perut, rembesan asid hidroklorik akan berlaku dan proses pencernaan akan berlaku. Untuk mengatasi kesan asid yang kuat ini, sel perut akan menghasilkan lapisan mukosa sebagai lapisan pertahanan untuk melindungi kawasan perut. Namun, masalah gastritis akan berlaku apabila tiada keseimbangan antara kuantiti rembesan asid hidroklorik yang terlalu banyak dan kekuatan lapisan pertahanan yang lemah.

Jika lapisan pertahanan ini terjejas, sel-sel perut akan terengsa dan akhirnya menyebabkan masalah ulser. Ini akan menyebabkan simptom gastritis termasuklah rasa sakit pada bahagian atas perut atau abdomen, rasa tidak selesa, cepat lapar, rasa mual (loya), muntah, letih dan pedih pada bahagian ulu hati.
Jika masalah ulser ini sampai ke tahap yang teruk, ini akan menyebabkan pendarahan yang boleh dilihat melalui 2 bentuk iaitu:
• Najis menjadi hitam seperti tar
• Muntah mengandungi darah atau berwarna gelap seperti kopi
Antara faktor risiko yang boleh sebabkan gastritis termasuklah pengambilan ubatan seperti ubat tahan sakit Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAIDs), ubatan steroid dan juga sesetengah antibiotik. Jangkitan kuman Helicobacter pylori juga boleh menyebabkan masalah ini. Malah kajian menunjukkan, sekitar 70-80% rakyat seluruh dunia mempunyai masalah jangkitan kuman Helicobacter pylori.

Bagaimana jangkitan kuman ini boleh berlaku? Kebiasaannya disebabkan oleh pengambilan makanna yang tercemar dengan H.pylori. Bakteria ini akan berenang dan memasuk bendalir yang melindungi dinding perut dan akan menyebabkan keradangan. Kebanyakan jangkitan kuman ini tidak menyebabkan simptom pada awalnya.
Bila anda dah alami masalah gastritis ni, penting untuk elakkan punca-punca yang boleh menyebabkannya melarat seperti stress, makanan yang masam dan pedas, minuman berlalkohol, penyakit autoimun, masalah lemah organ seperti buah pinggang atau hati dan sistem imun rendah. Mereka yang berusia juga lebih cenderung untuk mendapat masalah ini kerana lapisan perlindungan perut yang semakin menipis.

Apa yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan masalah gastritis ni termasuklah pengambilan makanan yang tinggi bahan anti keradangan seperti flavonoid yang banyak didapati dalam tumbuhan dan buahan, probiotik, teh hijau, bawang putih serta protein dan antioksidan astaxanthin yang kuat untuk membunuh kuman H.pylori punca masalah gastritis tadi!