Sehingga kini (11 Ogos 2021) dianggarkan lebih dari 4.3 juta orang penduduk di seluruh dunia terkorban akibat COVID-19 sejak wabak ini mula dikesan di Wuhan,China pada tahun 2019 dan sekurang-kurangnya 182 juta pesakit disahkan pulih.
Kadar kesembuhan yang ditunjukkan oleh pesakit COVID-19 adalah tinggi sekaligus menimbulkan persoalan bolehkah bekas pesakit COVID-19 dijangkiti semula? Satu kajian yang diterbitkan oleh JAMA Internal Medicine , dianggarkan dalam 18% pesakit yang pulih dari COVID-19 dan diuji negatif apabila diuji kembali didapati hasil keputusan ujiannya adalah positif. Perkara ini menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.
Sembuh COVID-19 bukan bermaksud “kebal”
Pesakit COVID-19 yang sudah sembuh telah diberi peringatan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga kerana boleh dijangkiti semula virus itu.
Ditegaskan juga bahawa kadar pesakit yang sembuh tidak boleh dijadikan alasan bagi sesebuah negara untuk melonggarkan langkah kawalan. Sehingga saat ini masih belum dijumpai sebarang bukti yang kukuh yang boleh menunjukkan individu yang sembuh daripada COVID-19 mempunyai antibodi yang mencukupi dan akan terselamat daripada jangkitan COVID-19 kerana masih terdapat kemungkinan seseorang itu dijangkiti semula.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bekas pesakit COVID-19 yang mempunyai paras antibodi neutralisasi (imuniti) dalam darah yang rendah akan mempunyai kebarangkalian untuk dijangkiti virus itu semula. Penyelidikan awal mendapati kebanyakan individu yang pernah dijangkiti mengalami penurunan antibodi selepas lapan minggu.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia memerlukan lebih ramai bekas pesakit COVID-19 untuk tampil menyertai sebuah kajian perubatan yang dinamakan ‘Kajian Membujur Tindak Balas Antibodi Neutralisasi Dalam Kalangan Pesakit COVID-19 di Malaysia’ bagi mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) di dalam darah yang boleh menghalang kuman Covid-19 dari menjangkiti pesakit yang pernah dijangkiti sebelum ini.
Mengapa ujian rt-PCR masih positif walaupun sudah sembuh?
Hasil pemantauan oleh Kementerian Kesihatan terhadap pesakit COVID-19 yang sudah sembuh mendapati masih ada yang kekal menunjukkan keputusan positif dalam jangka masa yang panjang meskipun apabila mereka disahkan sembuh. Hal ini kerana ujian rt-PCR sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus.
Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham, walaupun dikesan positif, namun mereka tidak menunjukkan sebarang gejalatidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat.
KKM membuat kesimpulan bahawa keputusan positif bagi pesakit yang sudah sembuh adalah disebabkan kehadiran fragmen virus yang sudah mati. Kesimpulan ini dicapai apabila hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus COVID-19 daripada sampel pesakit tersebut gagal dibiakkan. Penemuan hasil yang serupa juga turut dilaporkan dari beberapa negara seperti Korea, China, Singapura dan Jerman.
Kadar kebolehjangkitan didapati menurun ke tahap yang sangat rendah selepas tujuh hari. Terdapat sebuah kajian lain di Taiwan mendapati selepas lima hari pesakit dijangkiti COVID-19, mereka tidak menyebarkan jangkitan kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit ini.
Ini seiring dengan kenyataan yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam ‘Clinical management of COVID-19, Interim guidance, May 2020’, bahawa kebanyakan pesakit positif COVID-19 hanya boleh menyebarkan penyakit ini dalam jangka masa 10 hari daripada permulaan penyakit.
Langkah berjaga-jaga perlu terus diamalkan
Sehingga sekarang ini tidak ada jaminan bahawa mereka yang sudah sembuh daripada jangkitan COVID-19 tidak boleh dijangkiti semula. Pemeriksaan susulan terhadap pesakit COVID-19 yang di discaj dari hospital akan dilakukan setiap tiga bulan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memantau tahap sebenar antibodi dan keadaan paru-paru mereka.
Pada masa yang sama, amalkan langkah berjaga-jaga dengan penuh disiplin seperti yang telah disarankan oleh WHO dan KKM walaupun anda sudah dijangkiti dan sembuh dari COVID-19 ini . Sama-sama kita berganding bahu untuk putuskan rantaian pandemik ini.