7 Tanda – Tanda Bahaya Kehamilan Yang Semua Bakal Ibu WAJIB Tahu

Fasa kehamilan adalah tempoh yang sungguh mengujakan buat para ibu. Selain daripada info penjagaan kehamilan, anda juga perlu peka berkaitan pendarahan sewaktu hamil dan tanda-tanda bahaya bagi ibu yang sedang hamil untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan ibu hamil dan juga kandungan.

Fasa Kehamilan

Pertama, ibu perlu fahami fasa kehamilan. Ia dibahagikan kepada tiga fasa iaitu trimester pertama, kedua dan ketiga. Trimester pertama adalah 3 bulan yang pertama kehamilan, manakala trimester kedua adalah tempoh 3-6 bulan kehamilan dan trimester ketiga merupakan tempoh tiga bulan yang terakhir sehingga anda melahirkan.

Selalunya 3 bulan pertama ini adalah saat-saat yang kritikal kerana pada masa inilah proses pembentukan organ-organ penting seperti pembentukan mata, saraf, jantung dan sebagainya sedang berlaku dalam janin.

Tanda – Tanda Bahaya Kehamilan Yang Ibu Harus Peka

1) Pendarahan

Penting untuk memeriksa kehamilan anda apabila pendarahan terjadi. Jenis pendarahan boleh diklasifikasikan mengikut trimester dan juga jumlah darah. Tetapi apakah pendarahan yang kita boleh anggap sebagai tanda amaran atau tanda bahaya?

I) Pendarahan berlaku pada trimester pertama dengan banyak dan disertakan sekali dengan senak perut ataupun senggugut yang teramat. Ini mungkin disebabkan oleh ectopic pregnancy atau kandungan di luar rahim. Ia bahaya kerana boleh menyebabkan pendarahan yang serius dan membawa maut

II) Pendarahan di trimester pertama juga boleh disebabkan oleh keguguran dan perlukan rawatan di hospital juga. 

III) Pendarahan terjadi pada trimester ketiga  pula boleh disebabkan oleh placenta abruption atau uri tertanggal. Apabila ia tertanggal, pendarahan yang banyak akan berlaku. Namun, kadang-kadang ia boleh berlaku tanpa kesakitan dan hanya menunjukkan pendarahan.

IV) Ada juga keadaan placenta previa atau uri terletak di bawah dan boleh menyebabkan pendarahan

2) Alahan yang terlalu teruk

Sesetengah wanita mempunyai alahan dan muntah yang teruk yang menyebabkan hilang selera makan dan minum sehingga dehidrasi. Apabila dehidrasi berlaku, keadaan ini boleh menjejaskan aliran darah dan fungsi organ.

Tips mudah untuk mereka yang mempunyai alahan teruk, makan secara sedikit-sedikit dan makan makanan yang kering ataupun tidak berbau.

Jika muntah-muntah atau alahan yang teruk, perlu dapatkan bantuan di hospital kerana anda mungkin memerlukan tambahan air dan nutrisi dalam bentuk drip.

3) Sakit ketika buang air kecil

Simptom termasuklah anda terasa sakit ketika ingin membuang air kecil dan anda kencing dalam kuantiti yang sikit-sikit.Kebiasaannya, ia merupakan tanda jangkitan kuman di saluran air kencing. Jika tidak dirawat, kuman tersebut boleh merebak ke buah pinggang dan menyebabkan jangkitan lain pada ibu dan boleh memberi kesan kepada kandungan.

4) Bayi dalam kandungan tidak bergerak

Dalam keadaan normal, bayi akan bergerak lebih 10 kali dalam masa dua jam. Bagi ibu yang memantau pergerakan bayi, anda mungkin perasan jika bayi kurang aktif dari biasa. Ia mungkin normal seperti bayi tidur atau ia juga boleh menjadi tanda yang tidak normal.

Boleh makan dan minum air sejuk atau baring pada bahagian sisi untuk merangsang pergerakan bayi. Jika perkara ini semakin berlarutan dan pergerakan bayi masih kurang segera ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut.

5) Kontraksi 

Kontraksi yang berlaku pada awal trimester ketiga boleh menjadi normal atau tidak normal.

Keadaan normal adalah apabila kontraksi itu tidak berlaku kerap dan tidak semakin sakit. Ia dipanggil false contraction. Keadaan yang tidak normal pula terjadi apabila anda mengalami masalah kelahiran pramatang. Simptom kontraksi akan berlaku kerap dengan jarak kurang 10 minit dan tahap kesakitan kontraksi semakin meningkat.

6) Pecah ketuban

Biasanya bila air ketuban pecah, ia akan tumpah dengan banyak. Bagaimana pula sekiranya air yang keluar itu hanya sedikit. Ia boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti di akhir minggu kehamilan, rahim besar sehingga menindih pundi kencing menyebabkan mudah terkucil. Terdapat cara membezakan air ketuban dan air kencing iaitu dengan mengosongkan pundi kencing terlebih dahulu. Selepas itu, periksa jika terdapat air mengalir atau tidak. Jika terdapat air yang masih mengalir, terus ke hospital dengan segera

7) Pre-eklampsia

Walaupun punca sebenar masih belum diketahui, saintis berpendapat ia berkemungkinan disebabkan oleh masalah genetik, auto-imun atau masalah salur darah.

Simptom utama adalah tekanan darah naik terlalu tinggi disertai dengan kehadiran protein di dalam air kencing. Selain itu ibu juga boleh mengalami simptom seperti sakit kepala, kaki bengkak, penglihatan kabur serta sesak nafas. Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan boleh menyebabkan sawan serta stroke.

Bermanfaat? Kongsikan kepada rakan anda yang sedang hamil ya.

- Advertisement -spot_img
- Advertisement -spot_img

Artikel Terkini