Satu hirupan kopi (mungkin ada yang akan minum kopi sejuk) pada waktu pagi memang menyegarkan mata! Kopi bukan sahaja digemari oleh rakyat Malaysia tetapi juga digemari oleh manusia seantero dunia sehinggakan sudah banyak outlet-outlet kopi telah dibuka di serata dunia.
Tapi tahukah anda, setiap hirupan minuman kopi ini boleh mendatangkan banyak manfaat kepada tubuh badan?
Nak tahu lebih lanjut? Teruskan membaca.
Kopi Biasa Dan Kopi Tanpa Kafein

Kopi adalah sumber utama untuk kafein. Setiap jenis kopi mempunyai tahap kepekatan kafein yang tersendiri. Selain daripada kafein, kopi juga mengandungi khasiat yang lain seperti vitamin B2, vitamin B3, magnesium, kalium dan pelbagai sebatian antioksidan. Banyak kajian telah dilakukan oleh pakar-pakar sains dunia untuk membuktikan kebaikan kopi sebagai minuman harian.
Namun terdapat juga kopi yang tanpa kafein. Jadi, adakah kopi tanpa kafein (decaf coffee) ini tidak mempunyai khasiat seperti kopi biasa yang lain?
Sebenarnya decaf coffee ini dihasilkan dengan cara membilas biji kopi menggunakan pelarut kimia. Setiap kali biji kopi ini direndam, kafein yang terkandung di dalamnya akan mengalir keluar secara berperingkat dan proses ini dilakukan berulang kali. Walaupun namanya kopi tanpa kafein, namun kopi ini sebenarnya masih mempunyai kafein tetapi dalam jumlah yang lebih rendah.
6 Kebaikan Meminum Kopi
1. Melindungi Otak Daripada Penyakit Alzheimer dan Parkinson

Ada beberapa kajian telah membuktikan bahawa individu yang minum kopi mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengalami masalah yang melibatkan otak. Antara masalah yang melibatkan otak adalah seperti Dementia, Alzheimer dan Parkinson.
Kajian lain pula mendapati individu yang sering mengamalkan pengambilan kopi dalam kehidupan seharian tidak kiralah waktu pagi atau malam, mempunyai risiko 65% lebih rendah untuk menghidap penyakit-penyakit tersebut. Hal ini kerana Alzheimer adalah penyakit yang melibatkan sel saraf (neuron) yang rosak di dalam otak yang sekaligus boleh menyebabkan dementia.
Menariknya, penggemar kopi juga mempunyai 32% hingga 60% risiko lebih rendah untuk mendapat penyakit Parkinson. Kandungan flavonoids yang ada dalam kopi inilah yang membantu melindungi badan daripada terdedah kepada penyakit-penyakit yang melibatkan otak.
2. Meningkatkan Fungsi Otak Dan Stamina Badan

Kopi memang tidak asing lagi sebagai salah satu minuman yang dapat memberikan tenaga kepada badan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang perlu bekerja lewat malam ataupun yang perlu berjaga. Kandungan kafein dalam kopi dapat menggalakkan penghasilan hormon adrenalin iaitu hormon “berjaga”. Hormon tersebut akan memberikan kesegaran kepada individu yang minum kopi.
Selain daripada itu, kafein ini juga dapat mengurangkan penghasilan adenosine iaitu bahan yang membuatkan otak kita menjadi lesu. Apabila adenosine berkurangan, otak dapat memberikan isyarat kepada sistem saraf di bahagian otak untuk melepaskan hormon norepinefrin dan dopamin dengan lebih banyak.
Dengan itu, kafein memberi kesan yang positif kepada peminum antaranya ialah:
- Meningkatkan fungsi otak dalam jangka masa yang pendek
- Mempercepatkan masa reaksi terhadap sesuatu keadaan
- Meningkatkan mood, fokus dan sistem kognitif yang lain.
Selain itu, kopi juga mampu meningkatkan metabolisma badan sebanyak 3% hingga 11% dan prestasi untuk membuat latihan meningkat kepada 11% hingga 12%. Walaubagaimanapun, penggemar kopi perlu tahu bahawa pengambilan kopi dengan kerap boleh meningkatkan toleransi badan terhadap kafein. Hal ini akan menyebabkan keberkesanan kafein itu semakin berkurangan.
3. Merendahkan Risiko Diabetes Jenis 2
Satu tinjauan yang dilakukan di kalangan 457 922 orang dalam 18 kajian menunjukkan bahawa setiap cawan kopi yang diambil boleh merendahkan risiko kencing manis jenis 2 sebanyak 7%. Malah kajian-kajian lain pula membuktikan bahawa individu yang minum kopi setiap hari dapat merendahkan risiko
Diabetes Jenis 2 sebanyak 23% hingga 67%.
4. Membantu Membakar Lemak dan Mengurangkan Berat Badan

Walaupun tiada kajian kukuh yang membuktikan kafein ini betul-betul dapat membantu mengurangkan berat badan, namun terdapat dakwaan tersebut kerana sifat kopi boleh:
a) Mengurangkan nafsu makan.
Kafein di dalam kopi dapat mengurangkan rasa lapar dan keinginan untuk makan selama beberapa ketika.
b) Membakar kalori.
Kafein sememangnya boleh membantu meningkatkan penggunaan tenaga walaupun ketika anda sedang berehat. Ia juga boleh merangsang thermogenesis – salah satu cara badan menjana tenaga dan haba melalui proses penghadaman. Peminat kopi juga tak perlu risau kerana minuman ini merupakan minuman yang rendah kalori. Jadi, anda boleh minum tanpa rasa bersalah!
5. Meningkatkan Produktiviti

Satu kajian pada tahun 2013 menyatakan bahawa pengambilan kafein dalam kuantiti yang sederhana boleh meningkatkan prestasi motor dan kognitif. Kajian pada tahun 2018 pula mendapati pengambilan kopi sewaktu mesyuarat boleh meningkatkan prestasi ahli sidang yang terlibat dalam perbincangan tersebut.
Selain daripada itu, kafein juga merupakan penghalang receptor untuk adenosine. Ia merupakan satu bahan di dalam otak yang menjadi punca kepada keletihan dan mengantuk. Disebabkan itu, apabila bahan ini berkurang ia sekaligus boleh meningkatkan prestasi fizikal dan otak.
6. Emosi Yang Lebih Baik

Kajian telah membuktikan, pengambilan kafein secara konsisten sekitar 75mg atau secawan kopi boleh memberi kesan kepada perubahan emosi yang lebih baik. Terdapat juga kajian mengatakan, kafein ini mampu membantu mengurangkan simptom kemurungan. Tetapi pengambilan yang berlebihan pula boleh meningkatkan anxiety, gemuruh dan rasa tidak senang.
Kesimpulannya, Boleh Minum Kopi Atau Tidak?
Secawan kopi yang anda nikmati setiap pagi tidak akan mendatangkan kesan buruk kepada diri anda. Elakkan daripada mengambil kopi 3 dalam 1. Hal ini disebabkan minuman jenis ini mempunyai kandungan gula yang tinggi, kalori dan lemak trans.
Ketiga-tiga kandungan itu boleh mendatangkan banyak keburukan kepada kesihatan tubuh badan. Sama ada kopi atau segelas air oren di pagi, anda perlu lebih cakna akan kuantiti minuman yang diambil. Selain itu, anda juga harus memandang serius terhadap kuantiti gula yang digunakan untuk membancuh minuman. Akhir kata, dalam apa-apa situasi sekali pun, bersederhana adalah lebih baik.